Wednesday, September 17, 2008
Buku Kesejahteraan Manusia perspektif Psikologi
Buku suntingan Dr. Rohany Nasir dan Fatimah Omar dari pusat pengajian psikologi, FSSK UKM menghimpun esei-esei berkaitan dengan kajian yang dilakukan dalam bidang psikologi dan kaunseling.
Penerbit : UKM Bangi Selangor
Buku ini memberi pendedahan kepada pembaca mengenai kesejahteraan manusia daripada perspektif psikologi. Kesejahteraan manusia adalah satu aspek penting dalam kualiti kehidupan manusia. Setiap individu memainkan peranan penting di dalam kehidupannya sama ada di dalam rumah sebagai ibu, bapa, suami, isteri, anak datuk dan nenek serta di luar rumah sebagai pekerja, jiran mahupun ahli masyarakat. Peranan mereka itu saling kait-mengait. Oleh itu, jika terdapat masalah pada salah satu peranan sudah pasti akan menjejaskan peranan-peranan yang lain. Mengkaji kesejahteraan manusia dengan menggunakan pendekatan psikologi yang meliputi aspek kognitif dan afektif yakni perasaan negatif atau positif tentang kehidupan semakin diutamakan di negara maju dan di negara yang sedang membangun. Dengan memahami sesuatu masalah individu dari segi pengalaman menghadapi sesuatu masalah dan persepsi mereka yang berbeza di antara seorang individu dengan yang lain berhubung dengan sikap, persepsi dan gaya menangani sesuatu masalah itu. Oleh itu, mudahlah dirancang intervensi psikologi untuk menangani sesuatu masalah sesuai dengan keperluan individu atau sesuatu kelompok manusia.
Tujuan buku ini ialah untuk mengumpul hasil kajian dalam bidang psikologi yang dilakukan di dalam negara oleh penyelidik-penyelidik tempatan supaya boleh dimanfaatkan dengan melihat isu-isu dan masalah manusia daripada perspektif ilmu psikologi. Buku ini bukan hanya boleh dimanfaatkan oleh pembaca daripada bidang psikologi, bahkan sesiapa sahaja yang berminat untuk melihat isu-isu dan masalah manusia daripada perspektif psikologi.
Buku yang mengandungi 17 bab ini, merangkumi pelbagai isu berhubung dengan kesejahteraan manusia. Kandungan dalam buku memperlihatkan pentingnya pendekatan psikologi dalam meningkatkan kesejahteraan manusia. Perkhidmatan psikologi khususnya kaunseling bukan hanya untuk memulih, tetapi juga untuk pencegahan supaya kita dapat mempastikan individu mempunyai kehidupan yang berkualiti.
ROHANY NASIR, Ph. D., Profesor dan FATIMAH OMAR, Ph. D., Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment