Tuesday, September 9, 2008

Psikologi Ketenangan Hati



Psikologi ketenangan hati
Penulis : Hairunnaja Najmuddin
Jumlah Muka surat : 222
PTS Books

Buku pegangan bagi mereka yang memberi kaunseling emosi; guru-guru, ketua pejabat, para imam, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan seumpamanya.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua, buku ini dapat disiapkan dan diketengahkan buat panduan dan tatapan pembaca yang berminat. Usaha penulisan buku ini telah pun berjalan sejak lebih setahun lalu dan melalui beberapa kali proses pengurangan dan penambahan fakta bagi memantap dan menyesuaikan isi kandungannya.

Isu kegelisahan yang dikupas di dalam buku ini bukanlah suatu isu baru yang belum pernah dibincangkan oleh mana-mana penulis. Kegelisahan adalah perkara yang pernah dilalui oleh setiap orang dalam hidupnya sama ada dia sedari ataupun tidak. Bagi sesetengah orang, kegelisahan mungkin tidak menjadi suatu masalah yang besar kepadanya. Tetapi bagi sesetengah orang lain pula, kegelisahan mungkin merupakan suatu pengalaman yang menyakitkan sehingga mendatangkan gangguan emosi yang serius. Kegelisahan hakikatnya adalah perkara yang tidak dapat dielak oleh seseorang kerana kehidupan seharian menuntutnya berhadapan dengan orang lain, suasana baru, cabaran baru dan lain-lain lagi.

Setiap Muslim dituntut supaya memohon petunjuk dan pertolongan dari Allah SWT bagi setiap kesulitan dan masalah hidup yang dialaminya. Dalam menangani masalah kegelisahan, al-Quran juga telah memberikan garis panduan yang bersesuaian yang boleh diikuti dan diamalkan oleh setiap orang Muslim dalam kehidupannya sehari-hari. Memandangkan tidak banyak terdapat buku-buku tempatan mengenai pendekatan Islam dalam mencegah dan merawat kegelisahan jiwa, buku ini cuba untuk mengupas dan menerangkan persoalan tersebut dengan pendekatan yang mudah dan dapat difahami oleh masyarakat umum.

Saya mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan buat guru-guru dan pensyarah yang pernah mengajar dan mencurahkan ilmu kepada penulis di Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Maktab Perguruan Islam dan Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Jabatan Kaunseling dan Bimbingan Kerjaya UIAM yang memberi kepercayaan kepada penulis dan juga semua kakitangan jabatan terutamanya En. Khairulzain dan En. Abd. Malek yang sering menjadi pendengar setia di saat penulis berasa kosong, bosan dan tertekan dengan permasalahan yang mendatang.

Semoga buku kecil ini memberi manfaat dan faedah kepada para pembaca khususnya dan umat Islam amnya.

No comments: